Wednesday, November 25, 2009

KEKASIH GELAPKU...

Bunyi talipon berdering mengejutkan saya yang hampir terlelap tengahari semalam.

"Cepat buka TV3, ada issue menarik." Terdengar suara kawan baik saya di hujung talian.

"Okay." Saya yang masih termangu-mangu menjawab lantas meletakkan gagang talipon seraya berlari masuk ke bilik untuk menonton rancangan yang dimaksudkan oleh kawan baik saya itu.

Rancangan yang dimaksudkan ialah "WANITA HARI INI" dan issue yang dibincangkan ialah "KEKASIH GELAP". Ahli penal yang dijemput ialah seorang artis wanita (maaf saya terlupa namanya) dan Dato' Dr Fazilah Kamsah. Pengacaranya seperti biasa dua orang wanita. Ketika kawan saya memberitahu, rancangan itu telah 15 minit berlalu.

Kekasih gelap berkait rapat dengan kecurangan samada kecurangan seorang suami kepada isterinya atau kecurangan isteri kepada suaminya dengan memiliki orang ketiga yang dipanggil kekasih gelap di luar rumah.

Suami yang curang telah biasa kita dengar. Menurut Dato' Dr Fazilah Kamsah, miang lelaki di tiga peringkat umur iaitu 20an, 40an dan 60an. Kadang-kadang tiada sebab lain bagi seorang lelaki untuk berlaku curang. Walaupun rumahtangga dirasakan cukup sempurna, memiliki seorang isteri yang tip top dalam semua segi, tetapi seorang lelaki masih menyimpan niat untuk kawin lebih dari seorang. Memang semulajadinya lelaki begitu. Saya teringat seorang ustaz (maaf saya terlupa namanya) pernah berkata, lelaki normal memang memasang niat untuk memiliki lebih dari seorang isteri cuma seorang lelaki yang baik dan bertanggung jawab, akan berfikir dan menimbangkan sebaik mungkin sebelum melaksanakan niatnya. Dia tidak membuat keputusan mengikut nafsu dan perasaan. Sebagai wanita dan isteri, kita patut menerima hakikat yang lelaki memang dijadikan Allah seperti itu, walaupun sesungguhnya sangat pahit bila mengetahui suami mempunyai wanita lain yang dicintai dan disayanginya selain dari kita. Seorang lelaki yang baik menurut Dato' Dr Fazilah Kamsah ialah berlaku jujur kepada isterinya. Sekiranya dia ingin berkahwin lagi, seeloknya dari awal lagi dia memberitahu isteri tentang niatnya itu, berbincang sebaik mungkin walaupun dia sudah maklum isteri mana yang sanggup dimadukan. Seorang lelaki yang baik juga tidak memburuk-burukkan isteri dan rumahtangganya di depan kekasih gelapnya. Segala perancangan untuk berkahwin lagi dibuat menurut islam bukan dengan berkahwin secara senyap-senyap di sempadan negara jiran dan isteri hanya dapat tahu dari mulut orang lain setelah suami mempunyai anak tiga dengan isteri kedua. Itu akan menghancur luluhkan lagi hati seorang isteri dan semakin sukar untuk isteri menerima kenyataan dan hakikat.

Dalam rancangan semalam, saya sempat mendengar panggilan dari dua orang pendengar. Kedua-duanya isteri dan kedua-duanya mengaku mereka mempunyai kekasih gelap malah seorang dari mereka telah terlanjur dengan kekasih gelapnya dan kini mengandung empat bulan. Dalam hal ini, menurut Dato Dr Fazilah Kamsah, biasanya terdapat kepincangan dalam rumahtangga yang menyebabkan isteri mencari kekasih gelap selain dari suami. Kadang-kadang seorang isteri tidak berniat untuk mencari cinta lain selain dari cinta suami tapi disebabkan sikap suami yang tidak prihatin dan kurang memberi belaian menyebabkan isteri mengalami kesunyian dan kekosongan jiwa. Di zaman sekarang yang serba canggih dengan teknologi komputer, seorang isteri tidak perlu keluar rumah untuk mencari kawan. Semuanya boleh dilakukan secara online. Dari kawan biasa jadi luar biasa dan akhirnya isteri akan terperangkap dengan perasaannya sendiri apabila ada lelaki lain yang dirasakan lebih memahami dan lebih prihatin dari suaminya. Keadaan menjadi semakin buruk apabila lelaki tersebut melayan perasaan isteri orang itu lebih dari seorang kawan biasa. Di sinilah bermulanya kecurangan seorang isteri.

Untuk mengelak keadaan ini dari berlaku, suami perlu mengubah sikap dengan menjadi lebih prihatin. Seorang isteri bukan hanya memerlukan pakaian dan perhiasan tapi juga belaian dan kasih sayang serta sentuhan dari seorang suami. Bila keperluan isteri dari segi zahir dan batin dipenuhi, saya rasa seorang isteri yang baik tidak akan memandang kepada lelaki lain. Memiliki kekasih gelap sebenarnya di luar fitrah seorang isteri dan wanita. Kedua-dua pemanggil semalam mengaku mereka berasa sangat bersalah dan berdosa serta sedang berusaha untuk membaiki keadaan. Apa yang disarankan oleh Dato' Dr Fazilah Kamsah ialah supaya menghentikan perlakuan curang mereka serta merta dan bertaubat. Kesunyian itu boleh diganti dengan sesuatu yang lebih bermanfaat seperti melakukan hobi. Cari sesuatu yang diminati dan boleh dibuat untuk memenuhi masa dan fikiran. Kekosongan jiwa pula boleh diganti dengan memperbanyakkan zikir dan membaca Qur'an. Jangan sekali-kali meluahkan masalah rumahtangga dan suami kepada lelaki lain. Kalau perlu diluahkan, cari kawan perempuan yang boleh dipercayai. Isteri yang curang tidak akan mencium bau syurga apalagi untuk memasukinya.

1 comment:

  1. masyaallah...mudah dijauhkan..sory mencelah..salam ziarah.

    ReplyDelete